Kita sekarang lebih kenal artis daripada Rasulullah, lebih menyambut Hari Valentine daripada menyanjung Rasulullah. Pelik! Pelik! Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasaan cinta terhadap baginda.
Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya.
Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi "St. Valentino" daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru itu kita harus berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.
BIODATA Ringkas RASULULLAH SAW
- Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
- Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
- Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
- Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
- Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
- Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).
- Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
- Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).
USIA 5 TAHUN
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.
USIA 6 TAHUN
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.
USIA 8 TAHUN
Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. · Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
USIA 20 TAHUN
Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.
USIA 25 TAHUN
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah. Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.
USIA 35 TAHUN
Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah. Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.
USIA 40 TAHUN
Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.
USIA 53 TAHUN
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.
USIA 63 TAHUN
Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.
ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
- Khadijah Binti Khuwailid.
- Saudah Binti Zam'ah.
- Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
- Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
- Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
- Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
- Zainab Binti Jahsy.
- Maimunah Binti Harith.
- Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
- Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).
ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
- Qasim
- Abdullah
- Ibrahim
- Zainab
- Ruqaiyah
- Ummi Kalthum
- Fatimah Al-Zahra '
ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).
SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW
IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN
- Thuwaibah
- Hamzah
- Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
SAUDARA SUSUAN
- Halimah Al-Saidiyyah
- Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
- Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
- Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
- ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza
BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
- Al-Harith
- Muqawwam
- Zubair
- Hamzah ***
- Al-Abbas ***
- Abu Talib
- Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
- Abdul Ka ' bah
- Hijl
- Dhirar
- Umaimah
- Al-Bidha (Ummu Hakim)
- Atiqah ##
- Arwa ##
- Umaimah
- Barrah
- Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***
*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.
Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )
Nabi Muhammad SAW - Manusia agong
KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH. Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.
Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:
· Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw
· Aku melihat cahaya dari lidahnya.
· Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
· Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
· Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
· Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
· Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
· Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
· Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
· Wajahnya seperti bulan purnama.
· Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
· Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
· Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
· Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
· Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
· Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
· Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
· Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
· Janggutnya penuh dan tebal menawan.
· Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
· Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
· Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
· Rambutnya sedikit ikal.
· Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
· Rambutnya terbelah di tengah.
· Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
· Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
· Seimbang antara kedua bahunya.
· Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
· Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
· Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
· Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
· Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
· Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
· Warna putihnya lebih banyak.
· Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
· Warna kulitnya putih tapi sihat.
PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ
RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya zaman berputar seperti keadaannya
tatkala Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun ada 12 bulan. Antaranya ada empat bulan
haram. Tiga bulan berurutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab yang terletak antara
Jamadilakhir dan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam al-Quran Allah SWT berfirman bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu." (Surah At-Taubah ayat 36).
Menghubungkan Rejab dengan sejarah Islam, bulan ini tidak banyak mencatat peristiwa besar, tetapi satu daripada peristiwa yang berlaku itu boleh dijadikan bahan renungan seluruh pengikut Nabi Muhammad SAW.
Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar Islam mencatat dua peristiwa sedih memilukan hati dalam sejarah perjalanan hidup rasul kesayangan kita, iaitu Nabi Muhammad.
Dua peristiwa sedih dimaksudkan itu ialah kematian Siti Khadijah, isteri yang sangat disayangi Baginda dan banyak berkorban harta benda dan wang ringgit untuk membantu Baginda berdakwah mengembangkan Islam. Siti Khadijah dengan penuh ikhlas dan rela hati menyumbang semua harta miliknya untuk kepentingan dan kemajuan dakwah Rasulullah dalam usaha menegakkan risalah Islamiah.
Kemuraman terus melanda hidup Rasulullah. Selepas kematian Siti Khadijah disusuli pula dengan kematian bapa saudara Nabi, Abu Talib yang begitu rapat dengan hidup Nabi. Justeru, Abu Talib bersungguh-sungguh dan bermati-matian membela dan melindungi Rasulullah daripada ancaman orang kafir Quraisy.
Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati dan disegani di kalangan bangsa Arab ketika itu menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Rasulullah. Pemergian dua sangat rapat dan disayangi Baginda ini, Siti Khadijah dan Abu Talib, amat dirasakan oleh Baginda selepas itu.
Justeru, selepas kematian dua orang disayangi oleh Rasulullah ini, pergerakan dakwah baginda di kota Makkah semakin sempit dan sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy. Baginda mendapat ejekan serta mengancam keselamatan Baginda. Rasulullah akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif.
Malangnya di Taif juga Rasulullah menerima cacian, ejekan serta penghinaan penduduk Taif. Rasulullah kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah cukup berat ketika itu. Melihat keadaan Rasulullah SAW itu maka Allah memerintahkan Jibril membawa Rasulullah melalui peristiwa Israk Mikraj. Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 menjadi rasul.
Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Dan Kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi - "(Surah Maryam ayat 57).
Inilah peristiwa penting dan besar bagi orang Islam kerana peristiwa itu memberi hikmah dan pelajaran yang sangat mendalam bagi Nabi Muhammad dan sekali gus ia juga menjadi cermin bagi umat Muhammad pada hari ini, sebelum ini dan yang akan datang.
Sesuatu yang dikira penting bila bercakap mengenai Israk Mikraj ini ialah sejarah pensyariatan solat kini difardukan bagi umat Islam lima waktu sehari. Pada mulanya Allah menetapkan sebanyak 50 waktu sehari ketika Nabi Muhammad kali pertama menghadap Allah di Sidratul Muntaha. Selepas turun naik berulang kali menghadap Allah selepas diminta oleh Nabi Musa, maka akhirnya Allah menetapkan lima waktu saja sehari semalam.
Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj yang dialami Nabi Muhammad ribuan tahun lalu itu sentiasa segar dalam ingatan seluruh umat Islam kerana peristiwa itu diingati setiap tahun. Peristiwa itu memberi pengajaran yang cukup bermakna kepada orang mukmin untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah hingga kiamat. Jelas diperlihatkan kebesaran dan keagungan Allah melalui peristiwa Israk Mikraj.
Allah berfirman bermaksud: "Maha Suci Allah, yang menjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkali sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra' ayat 1)
Mempelajari kejadian yang berlaku sepanjang peristiwa Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad pada masa tiga suku malam itu boleh memberi kesedaran dan keinsafan mendalam bagi umat Muhammad.
Sebagai contoh ialah satu kejadian yang disaksikan Rasulullah ketika perjalanan (Israk), sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu mereka memecahkan semula. Mereka melakukannya berulang-ulang kali. Jibril memberitahu Rasulullah itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud kepada Allah (solat).
Kejadian di atas itu boleh menginsafkan mereka yang selama ini mengabaikan atau tidak solat. Allah tetap akan memberi balasan kepada mereka yang tidak sujud kepada-Nya dan Allah tidak memungkiri janji-Nya.