Monday, May 16, 2011

GURU,ILMU DAN PAHALA


Daripada Abu Umamah al -Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus ( meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut ) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia". (Riwayat al-Tirmizi)

Selamat Hari Guru kepada semua guru. Jasamu akan dikenang sepanjang hayat. Tetaplah ikhlas dan tabah memikul amanah ini kerana setiap yang engkau berikan akan memberikan kebaikan kepadamu kembali.
Guru oh Guru
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Usman Awang
1979

Saturday, May 14, 2011

KISAH LUQMAN AL-HAKIM DENGAN TELATAH MANUSIA

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Thursday, May 12, 2011

NASIHAT IMAM SAFIE

N4 PERKARA UNTUK SIHAT 
Empat perkara menguatkan badan 

1. makan daging 
2. memakai haruman 
3. kerap mandi 
4. berpakaian dari kapas
 

Empat perkara melemahkan badan 
1. banyak berkelamin (bersetubuh) 
2. selalu cemas 
3. banyak minum air ketika makan 
4. banyak makan bahan yang masam 


Empat perkara menajamkan mata 
1. duduk mengadap kiblat 
2. bercelak sebelum tidur 
3. memandang yang hijau 
4. berpakaian bersih 


Empat perkara merosakan mata 
1. memandang najis 
2. melihat orang dibunuh 
3. melihat kemaluan 
4. membelakangi kiblat 


Empat perkara menajamkan fikiran 
1. tidak banyak berbual kosong 
2. rajin bersugi (gosok gigi) 
3. bercakap dengan orang soleh 
4. bergaul dengan para ulama 


4 CARA TIDUR 
1. TIDUR PARA NABI 
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi. 

2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH 
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam. 

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang
banyak dimakan. 

4. TIDUR SYAITAN 
Menelungkup seperti tidurnya ahli neraka

Tuesday, May 10, 2011

SABAR dan SABAR

Dalam berdepan dengan apa jua situasi, orang selalu berpesan. "Sabarlah.. / Awak kena sabar banyak2 / Bersabar k /...."

Memberi nasihat untuk bersabar memang mudah. Tapi apabila kita ditimpa musibah, baru kita tahu bahawa susahnya untuk bersabar.

Para ulamak membahagikan sabar itu kepada 3 kategori:
1) sabar dalam melakukan ketaatan.
2) sabar dalam meinggalkan maksiat.
3) sabar ketika diuji dengan musibah.

Pepatah Melayu ada mengatakan, "Bumi mana yang tak ditimpa hujan." Begitulah gambaran tentang hidup ini yang tidak boleh lari dari diuji.

Menghadapi kesusahan dan kesukaran bukanlah ukuran Allah tidak sayangkan kita. Nabi Muhammad adalah insan yang paling banyak diuji sedangkan Baginda adalah kekasih Allah.

Junjungan Rasullah dilahirkan sebagai anak yatim. Dalam usia 2 tahun ibuNya pula tiada. Dikuti dengan kematian datuknya yang tercinta pada usia 6 tahun sehingga ketika itu Rasullah menangis teresak-esak sedih akan nasib yang menimpanya.

Setelah dibangkitkan menjadi Nabi, Baginda menerima ujian yang lebih dahsyat. Apa jenis celaan yang tidak dilemparkan kepada Baginda. Masyarakat ketika iti mengatakan Nabi gila, ahli sihir, pemecah belah bangsa dan banyak lagi cemuhan-cemuhan lain yang diajukan kapada Baginda.


"Seandainya Rasullah insan pilihan Allah pun diuji dan diuji, apatah lagi insan biasa seperti kita."  

Monday, May 9, 2011

Pertanyaan??

Makmum masbuk
oleh: Oleh MOHD. YUSOF ABAS
utusan malaysia 08.07.07

SOALAN: SAYA solat berjemaah tetapi tidak sempat menamatkan Fatihah kerana imam membacanya telalu cepat. Adakah saya dikira sebagai makmum masbuk, kerana saya tidak dapat waktu bersama imam untuk membaca dan menghabiskan Fatihah. Malah pada rakaat berikutnya, saya masih juga tidak dapat mengejar solat imam kerana apabila saya bangkit dari sujud, imam sudah mula turun rukuk kembali. Adakah saya masih dikira sebagai masbuk juga?

– Rahimah Mohd Nur,

Pekan, Pahang.

JAWAPAN: Anda dikira sebagai makmum masbuk bila anda tidak ada masa dan ruang (kadar biasa) untuk membaca Fatihah atau menghabiskannya. Apabila anda dikira sebagai masbuk, maka anda tidak perlu membaca Fatihah atau menghabiskannya lagi, melainkan setakat yang termampu sahaja, dan terus mendapatkan imamnya bersama dalam rukuk tersebut (dengan sempurna dan dapat tamakninah bersama imamnya) sedangkan bakinya, imamlah yang menanggung sebagai gantinya. Sebab itulah mereka yang akan dipilih sebagai imam perlu daripada kalangan mereka yang benar-benar fasih dan faham aturan solatnya serta dapat melaksanakan solatnya dengan sempurna dan sah.

Ini untuk melayakkannya sebagai imam yang dapat menanggung kekurangan makmum di belakangnya. Tetapi masa atau ruang yang ada sebelum itu jangan pula digunakan untuk melakukan bacaan sunat yang lain kecuali Fatihah sahaja. Ini kerana kalau ruang tersebut digunakan untuk bacaan sunat yang lain, maka wajiblah digantikan masa tersebut dengan membaca Fatihahnya selama mana masa yang digunakan itu, kerana kesilapannya menyalahgunakan masa dan ruang tersebut untuk tujuan yang lain. Dan bila anda dikira sebagai masbuk, maka anda dibenarkan (dimaafkan) ketinggalan di belakang imam sebanyak tiga rukun yang panjang - panjang iaitu sampai imam bangkit dari sujud yang kedua, kerana iktidal dan tasyahud awal, dikira rukun yang pendek.

Anda juga dikira sebagai masbuk sekalipun dalam rakaat yang seterusnya. Ini kalau keadaan masih sama dengan rakaat yang pertama tadi, iaitu masih tidak ada masa dan ruang untuk membaca Fatihah atau menghabiskan bacaan Fatihahnya. Kerana mereka yang ada masa dan ruang untuk menyempurnakan bacaan Fatihahnya dalam kiam imannya dia dikira bukan masbuk lagi, malah dikira makmum yang muafiq dan hukumnya adalah lain pula. Lantaran mereka perlu menghabiskan bacaan Fatihah masing-masing kerana bacaan Fatihahnya perlu disempurnakan sendiri, manakala imamnya tidak dapat menanggung bacaannya. Nabi bersabda yang bermaksud: Tidak ada solat (yang diterima lagi sah atau sempurna) tanpa ada bacaan Fatihah (dalam setiap rakaatnya) (riwayat Bukhari). Wallahualam

Sunday, May 8, 2011

TENTANG 5 SAHABAT


Ini kisah kehidupan lima orang sahabat yang bernama Panadol, Salbutamol, Statin, Verapamil, dan Sertraline. Mereka berlima beragama Islam hasil dari keturunan ibubapa mereka. Mereka tinggal di sebuah bandar yang dikenali dengan nama Bandar Tripathi. Ia adalah ibu negara Parmac, sebuah negara Islam contoh di rantau ini. Ia terletak bersebelahan dengan bandar-bandar yang maju sperti bandar Davidson, Ganong, Bailey dan Netter di sekeliling kepulauan Chaurasia. Bandar Tripathi adalah sebuah negara yang maju dari segi ekonominya yang berdaya saing terutama dalam industri farmaseutikal. Negara Parmac juga adalah pengeluar buku teks pharmac yang terbesar di dunia.
Lima sahabat ini tinggal berdekatan. Pada waktu pagi, selepas solat subuh bersendirian di bilik masing-maisng, mereka selalu bersarapan bersama-sama di warung Pak Cik Neostigmine (Pak Cik Neo). Mereka berlima bekerja di sebuah kilang milik Glaxo Smithkline. Selalunya mereka pergi ke tempat kerja bersama-sama. Di tempat kerja pula, mereka diletakkan dalam syif yang sama sebagai pembalut kotak-kotak Ribena. Mereka cukup rapat. Selalunya di waktu makan tengahari, mereka berlima akan berkongsi menaiki kereta Panadol untuk bersama-sama ke gerai makan. Habis sahaja makan mereka kembali ke tempat kerja. Statin mngazankan solat zohor. Verapamil solat bersendirian di suatu sudut manakala Panadol dan Sertraline pergi menunaikan rukun keenam selepas haji (rokok). Salbutamol sudah solat bersendirian degan cepat sekali kerana dia seorang yang rajin bekerja jadi tiada masa baginya untuk dibazirkan. Verapamil terpaksa solat sendirian lagi kali ini.
Syif petang bermula. Lima sahabat ini gigih bekerja dan mndapat pujian dari bos mereka. Syif berakhir pkul 4.30 petang. Kebiasaannya selepas waktu kerja mereka berlima akan minum petang di sebuah warung berdekatan dengan surau di tempat mereka. Sampainya mereka di sana, azan asar berkumandang. Statin mngajak mereka untuk solat asar. Kali ini Verapamil ikut manakala mereka yang lain terlalu lapar pada masa itu untuk solat jemaah bersama di surau.
Pukul 5.00 petang. Mereka pulang ke rumah masing-masing. Selalunya petang-petang begini mereka berlima akan turun beriadah bersama untuk berlatih futsal. Mereka berlima handal bermain futsal dan pasukan mereka merupakan yang paling digeruni kampung-kampung lain. Mereka jugalah juara kejohanan Futsal di tempat mereka. Pasukan mereka cukup lengkap dengan kekuatan dan keserasian yang mantap. Selalunya apabila hari hampir gelap, Statin pulang dahulu kerana ingin bersiap-siap untuk solat maghrib.
Pukul 7.30 malam, azan maghrib berkumandang di surau. Statin solat maghrib berjemaah disitu. Dalam perjalanan balik ke rumah, Statin terserempak dengan empat sahabat baiknya yang baru sahaja selesai berlatih. Mereka balik bersama-sama sambil membincangkan aktiviti yang ingin dilakukan bersama-sama malam ini. Verapamil mncadangkan makan malam di suatu tempat di tepi pantai, Sertraline mencadangkan snooker. Mereka bersetuju dengan kedua-dua cadangan.
Pukul 8.25 malam, mereka semua bergerak dengan kereta Kenari milik Salbutamol. Di pertengahan jalan, azan isyak berkumandang. Statin mngajak mereka supaya berhenti sebentar untku solat isyak, mereka berempat ketawa sinis kerana menyangka Statin hanya bergurau. Statin menggesa agar berhenti, tetapi Salbutamol berdalih kerana ingin cepat supaya dapat pulang ke rumah dengan cepat dan berjemaah di rumah. Salbutamol ini rajin orangnya jadi dia memang banyak kerja di rumah. Statin terpaksa mngalah. Mereka sampai di tempat makan. Mereka makan bersama-sama, habis sahaja makan mereka terus ke tempat snooker.
Malam itu mereka tiba di rumah jam 2.00 pagi dalam keadaan yang sudah mengantuk. Statin mengambil wuduk, dia menunggu rakan-rakan lain untuk solat bersama tapi ternyata mereka sudah terlalu mengantuk pada waktu itu. Statin solat isyak dan witir sambi berniat untuk bangun tahajud. Rezeki Statin bukan pada malam itu. Dia terlalu mengantuk untuk bangun solat malam.
Mereka berlima mempunyai banyak persamaan dalam pelbagai aspek. Mereka berjemaah dalam semua hal kecuali hal yang paling penting iaitu solat.
Mengapa mereka boleh berjemaah dalam benda-benda lain kecuali solat? Persoalan yang penulis juga tidak dapat untuk merungkaikan.
Beginilah kehidupan di sebuah bandar Islam. Bandar yang maju dari segi ekonomi dan kesejahteraan politiknya. Rakyatnya terdiri dari golongan profesional yang hebat-hebat dan ramai yang bergelar jutawan. Pemimpin mereka contoh terbaik dalam kehidupan seharian mereka. Negara ini sedang berada di kemuncak dari segi teknologi, pemikiran, dan ilmu selari dengan kuasa-kuasa besar dunia yang lain.
Tetapi adakah rakyat ini negara yang betul-betul kuat? Benar-benar hebat? Sedar atau tidak, dalam perkembangan ekonomi yang pesat, perkembangan sosial juga semakin pesat. Negara Parmac mungkin negara yang maju dari segi ekonomi tetapi ia juga pincang dari segi akhlak terutamanya masalah-masalah sosial seperti buang bayi, zina, arak, pelacuran, dadah, rogol, dan sumbang mahram berleluasa. Mat rempit dan gangster kebanyakannya orang Islam. Tidak kurang juga yang murtad. Tanpa disedari generasi pemuda yang akan memimpin negara pada masa hadapan nanti terdiri dari generasi ini. Adakah mereka sedar?
Sesungguhnya solat itu tiang agama. Tanpa tiang kita hanya boleh tinggal di atas tikar sahaja. Begitu juga agama, tanpa solat maka agama akan jadi seperti tikar yang letaknya dibawah punggung sahaja. Rakyat negara Parmac mungkin bersatu padu tetapi hati mereka cukup rapuh yang mungkin hancur ditiup anginangin keduniaan. Mereka akan kalah dalam jihad melawan nafsu, walaupun mereka bersatu padu tetapi hakikat hati yang kosong tidak akan dapat diisi dengan hati kosong yang lain. Satu gelas yang kosong tidak dapat diisi dengan gelas kosong yang lain. Iman yang disangka sudah cukup kuat tapi hakikat yang iman hanya dimulut tak dapat disangkal lagi.
Pesan penulis kepada penduduk negara Parmac supaya berfikir dan buat sesuatu, kerana negara anda sedang diserang tanpa disedari. Diserang oleh tentera-tentera syaitan yang mengalir dalam salur darah semua rakyatnya. Negara anda tidak akan dapat bertahan dengan jemaah yang selemah-lemah jemaah ini. Mantapkan jemaah anda!!! Bertahan dan bersabarlah!!! Kerana janji bantuan Allah akan tiba.
Alhamdulillah, penulis berasal dari Malaysia. Jauh dari masalah-masalah ini, betul tak?
Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Thauban R.A bahawa Rasullullah S.A.W bersabda, dengan mafhumnya:
"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"
Sabda Baginda s.a.w.:
"Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut."
Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"
Jawab Rasulullah s.a.w.:
"Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."
Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?"
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Cintakan dunia dan takut akan kematian."
P/S: Nama-nama di dalam cerita ini hanyalah rekaan semata-mata tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Saturday, May 7, 2011

Wanita dan Wangian : Apa Hukumnya?

Haruman daripada minyak wangi yang dipakai seorang wanita yang melintas di hadapan tadi masih kuat berbau walaupun wanita itu sudah hilang daripada pandangan.

Dalam hati memuji-muji bau haruman minyak wanginya dan tertanya-tanya jenama apakah minyak wangi yang dipakai oleh wanita itu.

Hmm, jika saya, yang juga seorang wanita pun terpikat dan sukakan bau yang datang daripada wanita itu, kaum Adam juga pasti menyukainya dan mereka pasti akan tertoleh-toleh untuk melihat gerangan wanita yang berbau sangat harum itu.

Jika hal demikian terjadi, maka berdosalah wanita itu kerana telah menarik minat (atau mungkin nafsu) kaum Adam terhadapnya.

Memang menjadi fitrah manusia sukakan sesuatu yang cantik dan wangi. Ini kerana Allah juga sukakan kecantikan dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini bersesuaian dengan maksud surah Al-A'raaf, ayat yang ke-31:

"Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas."

Galakan untuk berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki, bahkan juga untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh berhias dan mempamerkan perhiasan mereka pada khalayak ramai seperti firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram. Wallahu'alam.

Harus

Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak diharuskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud,

"Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu..." (Riwayat an-Nasa'is dari Abu Hurairah)

Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya.

Sunat

Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita.

Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,

"Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya" (Riwayat al-Tarmizi)

Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata,

"Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)" (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Makruh

Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.

Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan "makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa". Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.

Haram

"Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina" (Abu Dawud, Tirmidzi)

Nabi s.a.w bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)." (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)

Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur "Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi......" (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, "Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian...(penzina)" (Riwayat Tirmidzi)

Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya.

Allah jualah yang Maha Mengetahui. Wassalam.