Monday, May 16, 2011

GURU,ILMU DAN PAHALA


Daripada Abu Umamah al -Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus ( meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut ) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia". (Riwayat al-Tirmizi)

Selamat Hari Guru kepada semua guru. Jasamu akan dikenang sepanjang hayat. Tetaplah ikhlas dan tabah memikul amanah ini kerana setiap yang engkau berikan akan memberikan kebaikan kepadamu kembali.
Guru oh Guru
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Usman Awang
1979

Saturday, May 14, 2011

KISAH LUQMAN AL-HAKIM DENGAN TELATAH MANUSIA

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Thursday, May 12, 2011

NASIHAT IMAM SAFIE

N4 PERKARA UNTUK SIHAT 
Empat perkara menguatkan badan 

1. makan daging 
2. memakai haruman 
3. kerap mandi 
4. berpakaian dari kapas
 

Empat perkara melemahkan badan 
1. banyak berkelamin (bersetubuh) 
2. selalu cemas 
3. banyak minum air ketika makan 
4. banyak makan bahan yang masam 


Empat perkara menajamkan mata 
1. duduk mengadap kiblat 
2. bercelak sebelum tidur 
3. memandang yang hijau 
4. berpakaian bersih 


Empat perkara merosakan mata 
1. memandang najis 
2. melihat orang dibunuh 
3. melihat kemaluan 
4. membelakangi kiblat 


Empat perkara menajamkan fikiran 
1. tidak banyak berbual kosong 
2. rajin bersugi (gosok gigi) 
3. bercakap dengan orang soleh 
4. bergaul dengan para ulama 


4 CARA TIDUR 
1. TIDUR PARA NABI 
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi. 

2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH 
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam. 

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang
banyak dimakan. 

4. TIDUR SYAITAN 
Menelungkup seperti tidurnya ahli neraka

Tuesday, May 10, 2011

SABAR dan SABAR

Dalam berdepan dengan apa jua situasi, orang selalu berpesan. "Sabarlah.. / Awak kena sabar banyak2 / Bersabar k /...."

Memberi nasihat untuk bersabar memang mudah. Tapi apabila kita ditimpa musibah, baru kita tahu bahawa susahnya untuk bersabar.

Para ulamak membahagikan sabar itu kepada 3 kategori:
1) sabar dalam melakukan ketaatan.
2) sabar dalam meinggalkan maksiat.
3) sabar ketika diuji dengan musibah.

Pepatah Melayu ada mengatakan, "Bumi mana yang tak ditimpa hujan." Begitulah gambaran tentang hidup ini yang tidak boleh lari dari diuji.

Menghadapi kesusahan dan kesukaran bukanlah ukuran Allah tidak sayangkan kita. Nabi Muhammad adalah insan yang paling banyak diuji sedangkan Baginda adalah kekasih Allah.

Junjungan Rasullah dilahirkan sebagai anak yatim. Dalam usia 2 tahun ibuNya pula tiada. Dikuti dengan kematian datuknya yang tercinta pada usia 6 tahun sehingga ketika itu Rasullah menangis teresak-esak sedih akan nasib yang menimpanya.

Setelah dibangkitkan menjadi Nabi, Baginda menerima ujian yang lebih dahsyat. Apa jenis celaan yang tidak dilemparkan kepada Baginda. Masyarakat ketika iti mengatakan Nabi gila, ahli sihir, pemecah belah bangsa dan banyak lagi cemuhan-cemuhan lain yang diajukan kapada Baginda.


"Seandainya Rasullah insan pilihan Allah pun diuji dan diuji, apatah lagi insan biasa seperti kita."  

Monday, May 9, 2011

Pertanyaan??

Makmum masbuk
oleh: Oleh MOHD. YUSOF ABAS
utusan malaysia 08.07.07

SOALAN: SAYA solat berjemaah tetapi tidak sempat menamatkan Fatihah kerana imam membacanya telalu cepat. Adakah saya dikira sebagai makmum masbuk, kerana saya tidak dapat waktu bersama imam untuk membaca dan menghabiskan Fatihah. Malah pada rakaat berikutnya, saya masih juga tidak dapat mengejar solat imam kerana apabila saya bangkit dari sujud, imam sudah mula turun rukuk kembali. Adakah saya masih dikira sebagai masbuk juga?

– Rahimah Mohd Nur,

Pekan, Pahang.

JAWAPAN: Anda dikira sebagai makmum masbuk bila anda tidak ada masa dan ruang (kadar biasa) untuk membaca Fatihah atau menghabiskannya. Apabila anda dikira sebagai masbuk, maka anda tidak perlu membaca Fatihah atau menghabiskannya lagi, melainkan setakat yang termampu sahaja, dan terus mendapatkan imamnya bersama dalam rukuk tersebut (dengan sempurna dan dapat tamakninah bersama imamnya) sedangkan bakinya, imamlah yang menanggung sebagai gantinya. Sebab itulah mereka yang akan dipilih sebagai imam perlu daripada kalangan mereka yang benar-benar fasih dan faham aturan solatnya serta dapat melaksanakan solatnya dengan sempurna dan sah.

Ini untuk melayakkannya sebagai imam yang dapat menanggung kekurangan makmum di belakangnya. Tetapi masa atau ruang yang ada sebelum itu jangan pula digunakan untuk melakukan bacaan sunat yang lain kecuali Fatihah sahaja. Ini kerana kalau ruang tersebut digunakan untuk bacaan sunat yang lain, maka wajiblah digantikan masa tersebut dengan membaca Fatihahnya selama mana masa yang digunakan itu, kerana kesilapannya menyalahgunakan masa dan ruang tersebut untuk tujuan yang lain. Dan bila anda dikira sebagai masbuk, maka anda dibenarkan (dimaafkan) ketinggalan di belakang imam sebanyak tiga rukun yang panjang - panjang iaitu sampai imam bangkit dari sujud yang kedua, kerana iktidal dan tasyahud awal, dikira rukun yang pendek.

Anda juga dikira sebagai masbuk sekalipun dalam rakaat yang seterusnya. Ini kalau keadaan masih sama dengan rakaat yang pertama tadi, iaitu masih tidak ada masa dan ruang untuk membaca Fatihah atau menghabiskan bacaan Fatihahnya. Kerana mereka yang ada masa dan ruang untuk menyempurnakan bacaan Fatihahnya dalam kiam imannya dia dikira bukan masbuk lagi, malah dikira makmum yang muafiq dan hukumnya adalah lain pula. Lantaran mereka perlu menghabiskan bacaan Fatihah masing-masing kerana bacaan Fatihahnya perlu disempurnakan sendiri, manakala imamnya tidak dapat menanggung bacaannya. Nabi bersabda yang bermaksud: Tidak ada solat (yang diterima lagi sah atau sempurna) tanpa ada bacaan Fatihah (dalam setiap rakaatnya) (riwayat Bukhari). Wallahualam